Rabu, 15 Ogos 2012

Sarawak sukar ditembusi pembangkang


10/03/2008

Sarawak sukar ditembusi pembangkang

Oleh FAUZI JAAFAR
SEMALAM, Sarawak membuktikan mereka kekal sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) berikutan dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Gelombang tsunami politik yang melanda BN di Semenanjung tidak mampu merentasi Laut China Selatan yang membolehkan BN Sarawak menyumbang 30 kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan BN.
Tidak seperti Johor yang sebelum ini dianggap kubu kuat BN, Sarawak tetap boleh mendabik dada kerana hanya terlepas satu kerusi Parlimen iaitu Bandar Kuching kepada DAP.
Dalam hal ini, Ketua Jabatan Politik dan Kajian Antarabangsa Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Neilson Ilan Mersat berkata, kekuatan BN Sarawak disebabkan rakyat mahukan pembangunan yang berterusan.
''Isu pembangunan luar bandar masih menarik pengundi untuk terus mengekalkan penguasaan BN di negeri ini," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sebagai pemerhati politik di negeri ini, beliau berkata, pengundi Sarawak terbahagi kepada dua kelompok iaitu kelompok luar bandar dan di bandar.
Di luar bandar, beliau berpendapat masyarakat masih kurang canggih dan tidak banyak mendapat pendedahan politik berbanding dengan Semenanjung.
Pendapat beliau itu masih relevan kerana senario politik global dan gosip politik Semenanjung masih belum sampai kepada penduduk luar bandar yang masih jauh ketinggalan.
Bukan sahaja Internet atau telefon bimbit tetapi bekalan elektrik juga masih belum dinikmati sepenuhnya oleh penduduk terutamanya di kawasan jauh terpencil pedalaman Sarawak.
Neilson percaya kekurangan pembangunan menyebabkan penduduk luar bandar lebih percaya kepada BN untuk membawa pembangunan dan mengubah sosioekonomi mereka.
''Mereka kini terikat dengan BN dan menganggap BN adalah satu-satunya tempat mengadu untuk mendapatkan pembangunan," katanya.
Beliau mengakui BN sebenarnya telah membawa banyak pembangunan kepada penduduk di negeri ini dan faktor itu tidak boleh dinafikan dengan mudah.
Mengulas mengenai kelompok kedua iaitu penduduk di bandar, beliau mengakui terdapat sentimen yang jelas bahawa BN agak sukar mendapat tempat di hati pengundi.
Jika mengambil kira pembangunan, beliau percaya penduduk di bandar akan terus menikmati pembangunan jika memilih calon pembangkang.
''Penduduk di bandar berfikiran bebas iaitu walaupun tidak mengundi BN, mereka percaya akan terus menikmati pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,'' kata beliau.
Jika di Semenanjung, peranan Internet sebagai media alternatif memberi kesan terhadap pilihan raya kali ini tetapi di Bumi Kenyalang, agak berbeza.
Begitu juga dengan khidmat pesanan ringkas (SMS), ia tidak banyak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap BN.
Neilson berkata, keadaan geografi dan liputan yang terhad menyebabkan instrumen SMS itu tidak digunakan dengan meluas di negeri ini.
''SMS semasa musim berkempen hanya berlegar di kawasan bandar sahaja, ia tidak 'merayau' ke kawasan luar bandar pun,'' kata beliau.
Bagi Pensyarah Fakulti Sains Sosial Unimas, Jeniri Amir, pembangkang sebenarnya tidak mendapat tempat atau dengan kata lain sukar menembusi kubu kuat BN Sarawak.
''Namun kawasan bandar yang majoritinya kaum Cina agak terkecuali daripada faktor ini. Mereka (kaum Cina) menunjukkan sokongan melalui undi,'' kata beliau.
Kenapa ini berlaku?
Beliau berpendapat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang merupakan parti komponen BN sedang berhadapan dengan masalah dalaman.
Ini kerana beliau mendakwa terdapat pergeseran antara Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan bekas ahli Parlimen Sarikei, Tan Sri Law Hieng Ding.
Selain pergeseran itu yang dikatakan telah selesai, isu pengambilan tanah juga mampu menjejaskan sokongan pengundi Cina kepada calon daripada parti SUPP.
''SUPP memberitahu isu ini sudah selesai, namun sebaliknya ia masih bergolak. Pengundi Cina masih belum berpuas hati, mereka tunjukkan masa mengundi,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan