Isnin, 8 Oktober 2012

Kerajaan serius capai matlamat



Kerajaan serius capai matlamat

by Kepu Sidi. Posted on October 6, 2012, Saturday
Wawasan 2020 Tinggal lapan tahun lagi, pelbagai pendekatan, pembangunan dilaksana kepimpinan negara: Jelaing
SARATOK: Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk matlamat negara mencapai status negara maju menerusi Wawasan 2020 direalisasikan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat.
Sehubungan itu, katanya, pelbagai pendekatan dan pelaksanaan pembangunan telah dilaksanakan kerajaan.
“Salah satu perkara yang jelas menunjukkan bahawa kepimpinan negara begitu serius untuk merealisasikan matlamat ini ialah melalui pembentangan bajet yang memberikan pertimbangan dari semua aspek.
“Kebanyakan peruntukan yang telah diagihkan atas pertimbangan kepada semua perkara yang mampu membantu masyarakat dan negara ini bergerak seiring dengan kemajuan dan pembangunan yang dilaksanakan.
“Ini kerana, jika rakyat masih terus berada pada tahap kemunduran, kemiskinan dan ketinggalan dalam aspek-aspek tertentu, hasrat dan niat semua pihak untuk melihat negara ini mencapai status negara maju hanyalah satu mimpi dan angan-angan kosong sahaja,” katanya.
Jelaing berkata demikian pada Majlis Dialog Penerangan Belanjawan 2013 yang berlangsung di Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam.
Jelaing berkata, beliau mahu masyarakat jelas tentang maksud tersirat dan tersurat yang terkandung dalam belanjawan yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
“Kita berharap masyarakat tidak dibuai andaian tanpa usul periksa atau kajian terperinci tentang bajet yang telah dibentangkan kerana setiap nilai yang diperuntukkan di dalamnya mempunyai objektifnya yang tersendiri.
“Tetapi apa yang paling jelas daripada pembentangan bajet tersebut adalah ia mesra rakyat dan untuk rakyat,” jelas Jelaing.
Sekitar 300 orang penduduk terdiri daripada ketua-ketua masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil jabatan kerajaan menghadiri dialog tersebut.
Terdahulu, ceramah bertajuk Bajet 2013: Satu Harapan disampaikan oleh Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat iaitu Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), manakala Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sarawak menyampaikan ceramah Bajet 2013: Perspektif Pembangunan Di Luar Bandar.
Turut hadir pada program yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Saratok tersebut ialah Residen Bahagian Betong Datu Romi Sigan Daniel, Pengerusi Penganjur Program Stephen Cedrick Kadak serta beberapa tetamu kehormat lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan