Jawatankuasa pastikan 122 resolusi Simposium Budaya direalisasikan
Posted on November 14, 2013, Thursday
KUCHING:
Sebuah jawatankuasa bakal ditubuh bagi memastikan sebanyak 122 resolusi
hasil daripada 51 kertas kerja dibentang pada Simposium Budaya Sarawak
Ke-6 dapat direalisasi menjelang penganjuran seterusnya dalam lima tahun
akan datang.Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil setiap etnik untuk memantau dan menyelaras perkembangan resolusi-resolusi yang dirujuk kepada agensi-agensi relevan dari semasa ke semasa.
“Kita berharap menjelang simposium seterusnya yang bakal diadakan dalam jangka masa lima tahun lagi, resolusi-resolusi ini dapat menjadi kenyataan sekurang-kurangnya di peringkat pelaksanaan.
“Adalah menjadi harapan kementerian untuk melaporkan pencapaian resolusi ini pada penganjuran Simposium Budaya Sarawak akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Simposium Budaya Sarawak Ke-6 yang bermula 22 April lalu dan berakhir semalam di sebuah hotel terkemuka di sini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat serta Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi.
Fatimah memberitahu, antara resolusi yang diberi penekanan adalah berhubung pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di mana ia akan dirujuk kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Resolusi lain yang dikemukakan seperti perkhidmatan dan pengambilan pekerja sektor awam, lantikan ketua-ketua masyarakat, perniagaan dan keusahawanan, projek mega dan pembangunan luar bandar, bahasa khasnya Iban dan Melanau, agama, warisan, warisan dan budaya serta adat resam, pendidikan dan latihan, politik, hal ehwal Penan, sosial, perhubungan dan multimedia, cuti umum serta aspek pembangunan wanita dan belia.
“Kita akan mengumpul resolusi-resolusi tersebut sebelum menyerahkannya kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 26 November ini,” katanya.
Beliau turut memberitahu kesemua kertas kerja dibentangkan pakar dan pengkaji budaya serta ahli-ahli akademik dalam simposium yang disertai 2,129 orang itu dicadang untuk dibukukan dan seterusnya diserahkan kepada pihak muzium.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan