Rabu, 23 Januari 2013

Pelajar boleh berpolitik tetapi bukan sebagai calon

Pelajar boleh berpolitik tetapi bukan sebagai calon

Posted on December 18, 2012, Tuesday
Persoalannya mampukah pelajar memikul tanggungjawab sebagai ADUN, Ahli Parlimen dengan berkesan: Rundi
KUCHING: Memberi kebebasan kepada pelajar universiti untuk menyertai aktiviti politik di luar kampus adalah baik tetapi tidak sebagai calon.
Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata tidak dinafikan ada di kalangan pelajar yang berpontensi sebagai pemimpin.
Tetapi isu utamanya, mampukah mereka (pelajar) itu memikul tanggunjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen yang berkesan.
“Pada saya, memberi kebebasan kepada pelajar universiti untuk terlibat secara serius dalam politik termasuk menjadi seorang calon ada baik dan buruknya.
“Ia adalah baik kerana kita tidak menghalang mana-mana kumpulan dalam masyarakat untuk menyuarakan pendapat.
“Tetapi bertanding dalam pilihan raya memerlukan lebih daripada keupayaan dan kredibiliti untuk menjadi pemimpin yang baik,” katanya.
Dr Rundi yang juga setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan ADUN Kemena menambah, mana-mana individu yang mahu bertanding dalam pilihan raya perlu bersedia sepenuhnya daripada semua aspek termasuk kedudukan kewangan yang stabil dan sumber-sumber lain.
Katanya sesiap yang berhasrat untuk menjadi calon khasnya pelajar universiti mesti berfikir panjang dan tidak bertanding hanya kerana emosi kerana ia boleh menghancurkan masa depan mereka.
Malah jelasnya, pelajar universiti tidak seharusnya berfikir untuk bertanding dalam pilihan raya sebaiknya memberi fokus kepada pengajian mereka terlebih dahulu untuk masa depan yang stabil.
“Mereka tidak perlu terburu-buru kerana untuk mana-mana pemimpin masa depan yang berpontensi, masa untuk mereka pasti akan tiba,” ujarnya sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya Jumaat lepas.
Sementara itu, ahli akademik Prof Madya Dr Neilson Ilan Mersat turut menyatakan pandangan yang sama dengan Dr Rundi berhubung perkara ini.
“Sama seperti Dr Rundi, saya turut mempunyai pandangan yang bercampur mengenai perkara ini kerana ia bagus untuk pelajar yang terlibat dalam politik mendapatkan pendedahan dan pengalaman tetapi pada masa yang sama akan menjejaskan fokus mereka terhadap pelajaran,” katanya.
Tambahnya, jika pelajar mengambil nasihatnya beliau lebih menggalakkan mereka untuk menamatkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan tetap yang selamat dan memikirkan untuk menyertai politik pada tahap kemudian.
“Apa yang selalu saya tanyakan kepada pelajar saya ialah jika mereka dipilih apa yang mereka boleh tawarkan kepada pengundi mereka?
“Satu perkara yang harus diingatkan ialah dalam politik tidak segalanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan