Khamis, 31 Julai 2014

Penggunaan Sumber Asli dan Kearifan Tempatan di Kampung Telok Melano dan Telok Serabang, Lundu : Satu Pemerhatian



Penggunaan Sumber Asli dan Kearifan Tempatan di Kampung Telok Melano dan Telok Serabang, Lundu : Satu Pemerhatian
Neilson Ilan Mersat, Wong Swee Kiong, Mohd. Azizul Hafiz Jamian, Peter Songan,
Spencer Empading Sanggin, Ahi Sarok dan Mohd. Suhaidi Salleh 


Proses modenisasi telah menyebabkan manusia perlu mengubah strategi hidup mereka. Ini juga membawa kepada perubahan dari segi cara hidup dan juga penggunaan sumber asli yang terdapat di sekeliling mereka. Misalnya, sebuah masyarakat yang dahulunya banyak bergantung kepada sumber hutan tetapi akhirnya perlu beralih ke sumber laut dan juga mengamalkan pertanian moden untuk menyara hidup serta meningkatkan pendapatan mereka. Perubahan sebegini telah meninggalkan kesan kepada kearifan tempatan sesuatu masyarakat itu. Pengetahuan tentang penggunaan sumber tertentu akan berubah dan malah semakin pudar apabila mereka tidak lagi mengamalkan cara yang lama untuk meneruskan kehidupan mereka. Kertas kerja ini adalah berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan di dua kampung nelayan persisiran pantai iaitu  Kampung Telok Melano dan Telok Serabang di Daerah Lundu. Kertas kerja ini akan membincangkan penggunaan sumber asli di kedua-dua kampung dan bagaimana perubahan dalam strategi hidup mereka membawa kesan kepada kearifan tempatan  tentang penggunaan sumber-sumber asli tersebut. Kajian ini mendapati bahawa wujudnya jurang yang jelas dalam kearifan tempatan seperti penggunaan tumbuhan untuk tujuan ubatan dan juga membuat kraftangan di antara generasi muda dengan generasi tua. Generasi tua mempunyai pengetahuan yang lebih luas tentang kearifan tempatan dibandingkan dengan generasi muda. Ini menunjukkan bahawa kelestarian kearifan tempatan penduduk di kedua-dua kampung sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran yang datang bersama dengan proses  pemodenan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan