Khamis, 31 Julai 2014

Sejarah Awal Migrasi Kaum Iban di Sarawak



Sejarah Awal Migrasi Kaum Iban di Sarawak
Prof. Madya Dr Neilson Ilan Mersat
Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak

Pengenalan
Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat beberapa sebab mengapa sesuatu kelompok atau kaum itu berpindah ataupun melakukan migrasi. Manusia berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain kerana ingin mencari peluang pekerjaan serta mendapat gaji yang lebih lumayan. Namun terdapat juga yang berpindah dengan tujuan untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Sesetengah orang berpindah kerana melarikan diri dari penindasan politik. Selain daripada itu manusia juga berpindah untuk menikmati kemudahan asas yang lebih baik, untuk mendapatkan makanan, air dan juga alam sekitar yang lebih baik. Bagi kaum Iban satu konsep yang menjadi pegangan mereka serta asas kepada  aktiviti migrasi dinamakan bejalai. Menurut Kedit (1993), bejalai ialah bilamana seseorang itu pergi merantau untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang baharu dalam kehidupan mereka. Malah mereka yang lebih banyak bejalai serta jauh tempatnya di mana beliau pernah bejalai dianggap mempunyai status yang lebih tinggi dalam kaum tersebut.   

Kertas kerja ini akan membuat analisis tentang perpindahan kaum Iban dari Lembah Kapuas di Indonesia sehingga ke Sarawak sebelum kedatangan Brooke. Menurut Sandin (1967), terdapat tiga teori utama tentang kedatangan kaum Iban ke Sarawak. Teori yang pertama menyatakan bahawa mereka datang ke Sarawak melalui Tanjung Datu di Lundu. Teori yang kedua pula menyatakan bahawa mereka datang ke Sarawak melalui Bukit Merudu yang terletak tidak jauh dari Brunei (Sandin, 1967:3 & 26). Teori yang ketiga pula menyatakan bahawa mereka datang dari lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang. Teori yang ketiga adalah lebih dominan kerana terdapatnya sumber-sumber lisan yang membuktikan bahawa sebahagian besar dari kaum Iban berhijrah dari lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang. Kertas kerja ini akan melihat proses migrasi kaum Iban ke Sarawak dari prisme teori yang ketiga. Kertas kerja ini juga ditulis berdasarkan sumber sekunder dari tulisan-tulisan awal yang dibuat oleh penyelidik-penyelidik tempatan dan juga sarjana-sarjana dari luar Sarawak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan