Jumaat, 14 September 2012

Runi - 608 spesies tumbuhan ubatan didokumentasi

608 spesies tumbuhan ubatan didokumentasi

by Agnes Tugong. Posted on November 15, 2011, Tuesday
SPESIMEN: Runi menunjukkan spesimen tumbuhan yang disimpan untuk tujuan dokumentasi.
Kerja mengumpul, konservasi tumbuhan ini dijalankan secara aktif oleh kakitangan Jabatan Perhutanan
KUCHING: Penggunaan tumbuhan ubatan tradisional di kalangan masyarakat dilihat semakin berkurangan kesan daripada kemunculan perubatan moden.
Namun, permintaan yang tinggi terhadap tumbuhan ubatan ketika ini mula menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya.
Sehubungan itu, kerja-kerja mengumpul dan konservasi terhadap tumbuhan ubatan mulai dijalankan secara aktif dan sehingga hari ini sebanyak 608 spesies telah berjaya didokumentasikan.
Perkara ini dijelaskan oleh Pegawai Kanan Penyelidikan Konservasi Jabatan Perhutanan Runi Sylvester ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Menurutnya, sebanyak 608 spesies tumbuhan ubatan berjaya didokumentasikan sebagai kegunaan perubatan tradisional masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.
Dalam pada itu, dianggarkan lebih daripada 1,000 spesies tumbuhan ubatan boleh didapati di negeri ini meliputi pelbagai kawasan dan jenis hutan.
“Kerja-kerja mengumpul dan mendokumentasikan tumbuhan ubatan telah dijalankan sejak tahun 1970 untuk tujuan konservasi dan bahan rujukan dalam bidang penyelidikan.
“Tumbuh-tumbuhan ini boleh didapati di pelbagai kawasan di negeri ini dan ia meliputi jenis tumbuhan seperti rumput, kulit-kulit kayu, tumbuhan renek dan pokok-pokok menjalar.
“Kita percaya setiap kumpulan etnik di negeri ini mempunyai perubatan tradisional masing-masing dan berdasarkan pengetahuan tradisional yang diperolehi sebanyak 608 spesies telah berjaya didokumentasikan,” katanya.
Tambah Runi, selain mengumpul dan mendokumentasikan spesies tumbuhan ubatan, jabatan turut mewujudkan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan Tumbuh-tumbuhan Terlindung Sepenuhnya (TPP) dalam usaha memulihara tumbuhan ini.
Mereka yang didapati mengambil, membakar, meracun atau menjual tumbuhan terlindung sepenuhnya di Sarawak boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 dan penjara dua tahun.
Manakala jika didapati melakukan perbuatan yang sama bagi tumbuhan terlindung di Sarawak akan dikenakan denda maksimun RM10,000 dan penjara setahun.
Dalam pada itu terdapat lebih daripada spesimen tumbuhan ubatan dan ethnobotani disimpan di Bilik Spesimen jabatan yang terletak di Batu 6 di sini.
Spesimen tertua yang disimpan di bilik ini telah dikumpul sekitar tahun 1840-an oleh keluarga Brooke.
Antara lain, spesimen-spesimen ini turut disimpan sebagai rujukan oleh negeri-negeri lain serta negara luar.


Read more: http://www.theborneopost.com/2011/11/15/608-spesies-tumbuhan-ubatan-didokumentasi/#ixzz26SWKpJsS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan