03/05/2007
Malaysia belum bersedia
KUCHING 2 Mei – Sistem automatik layak mengundi hanya sesuai dilaksanakan di Malaysia jika mekanisme untuk pendaftaran pengundi dan infrastruktur bagi melicinkan proses pengundian ditingkatkan setaraf dengan negara maju, menurut seorang ahli akademik.
‘‘Kita (Malaysia) belum bersedia lagi,’’ kata Ketua Program Pengajian Politik dan Kerajaan, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Neilson Ilan Mersat kepada Bernama ketika mengulas mengenai cadangan melaksanakan sistem itu.
Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan sistem demokrasi berjalan lancar, namun untuk menjayakan sistem itu, ia memerlukan kajian mendalam.
Katanya, jika dilihat secara praktikal, ia akan memberi impak besar kepada penduduk di pedalaman Sarawak dan Sabah umpamanya, kerana pelaksanaannya tidak menjamin peratusan mengundi golongan itu akan meningkat berpunca daripada kekangan komunikasi dan kedudukan geografi.
Dr. Mersat berkata, pendaftaran automatik berdasarkan alamat warganegara yang mencapai umur 21 tahun juga tidak praktikal bagi mereka yang tinggal di pedalaman.
‘‘Bayangkan kalau mereka berpindah ke kawasan lain di pedalaman juga, bagaimana SPR (mahu) menyediakan mekanisme bagi golongan ini untuk melakukan pendaftaran semula untuk mengundi di kawasan baru mereka,’’ katanya.
Dengan keadaan penduduk di kawasan pedalaman yang tinggal berselerak, Dr. Mersat yakin SPR akan menghadapi cabaran besar untuk memastikan senarai daftar pemilih bersih dan tepat.
Ketika ditanya sama ada sistem pengundian wajib boleh dilaksanakan seperti di Australia, beliau berkata, ia sesuai dilaksanakan sekiranya SPR mampu menyediakan kemudahan logistik dan kakitangan yang mencukupi.
Kaedah itu juga boleh berjaya jika sistem infrastruktur seperti jalan raya berada dalam tahap terbaik manakala dari aspek logistik, ada kemudahan pengangkutan awam yang mencukupi membawa pengundi ke tempat mengundi, katanya.
Mengenai kemungkinan cadangan mengundi online atau ‘E-Voting’, beliau berkata, ia tidak sesuai dilaksanakan memandangkan bukan semua kawasan mempunyai kemudahan Internet.
Sistem
‘‘Di negara maju pun sistem itu ada kelemahan sendiri kerana ada pihak mempertikaikan kesahihan pengundi yang mengundi,’’ katanya.
Beliau yakin pendidikan dan kempen berterusan adalah kaedah terbaik untuk memastikan rakyat menyedari hak mereka untuk mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi jika ada pilihan raya.
Pada 25 April lepas, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan SPR melakukan pindaan Akta bagi membolehkan pendaftaran automatik dilaksanakan di negara ini dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.
Ini ekoran pendedahan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa 4.9 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pengundi.
– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan